Saturday, August 30, 2008

PERISTIWA PERANG KHANDAK




Peristiwa luar biasa di medan Khandak
IMAM Bukhari meriwayatkan dalam Sahih Bukharinya yang dinukil dari Jabir r.a. katanya:
"Pada hari persiapan perang Khandak, kami bekerja keras menggali parit. Tiba-tiba kami dapati satu bungkah batu besar dalam parit yang sedang digali, lalu kami maklumkan kepada Nabi s.a.w. Setelah mendengar berita itu, Nabi s.a.w. menyatakan untuk turun sendiri ke dalam parit bagi mengatasi masalah batu besar itu.Ketika Nabi s.a.w. turun menghampiri batu besar itu, aku terlihat beberapa ketul batu dibalut dengan kain dan diikat pada perut Nabi s.a.w..Sudah tiga hari kami menggali parit dalam keadaan tiada sebarang makanan untuk mengalas perut kami. Semua bekerja dalam keadaan lapar, Nabi s.a.w. sendiri menanggung lapar sehingga perutnya dialas dengan ketul-ketul batu untuk mengurangkan rasa lapar yang sangat mencengkam."Demikianlah keadaan Nabi membuat persiapan perang dalam keadaan lapar.

Meskipun demikian namun Nabi s.a.w. tidak menyerah kalah dengan halangan batu besar yang hampir menggagalkan rancangan membina parit bagi menghalang kemaraan tentera al-Ahzab.Dengan sebuah tukul besi yang berat, Nabi s.a.w. menghayun dan menghentaknya ke atas batu pejal dengan sekuat hati. Dengan izin Allah batu besar itu pecah berkecai.Dilihat secara zahir, batu besar itu tidak mudah untuk dihancurkan. Namun Nabi s.a.w. tetap berusaha dengan kudrat yang ada. Allah SWT mendatangkan pertolongan-Nya dengan bantuan mukjizat, batu besar itu dapat dihancurkan.Setelah itu Jabir minta izin dari Nabi untuk pulang ke rumah. Sampai di rumah, Jabir memberitahu isterinya keadaan di medan Khandak sudah tiga hari tiada makanan.

Keadaan Nabi s.a.w. sendiri sangat menyedihkan, baginda terpaksa mengikat perut dengan batu-batu berbalut kain, bagi mengurangkan rasa lapar supaya dapat meneruskan kerja-kerja membina parit."allahummadollialasayyidamuhammad"

Jabir dan isterinya berusaha menyediakan sedikit makanan untuk alas perut terutama untuk Nabi s.a.w. Mereka hanya mempunyai sedikit gandum dan seekor anak kambing yang sangat kurus. Jabir menyembelih satu-satunya kambing yang dimiliki, dan isterinya mengisar gandum untuk buat roti.Kemudian Jabir bergegas semula ke medan Khandak mempersilakan Nabi s.a.w. ke rumahnya untuk makan ala kadar. Jabir juga minta Nabi mengajak seorang dua sahabat untuk bersama menjamah makan. Kerana makanan yang disediakan oleh isterinya hanya beberapa keping roti dan seperiuk sup seekor anak kambing yang kurus.Nabi s.a.w. memberitahu jabir, makanan tersebut cukup untuk menjamu semua tiga ribu petugas Khandak. Lalu Nabi berpesan kepada Jabir supaya periuk sup kambing itu tidak dialih dari dapur, dan tunggu sehingga Nabi s.a.w. datang membahagi-bahagikan makanan itu kepada ribuan ahli Khandak itu.Sebelum Jabir pulang kerumahnya, Nabi s.a.w. memaklumkan kepada semua ahli Khandak, bahawa Jabir dan keluarganya telah menyediakan makanan yang banyak. Semua para petugas Khandak dipersilakan ke rumah Jabir untuk menikmati jamuan tersebut.Jabir agak terkejut dan bergegas pulang dengan cemas, memberitahu isterinya tentang pengumuman Nabi s.a.w. menjemput semua (tiga ribu) ahli Khandak.Dia agak kebingungan dan mungkin akan mendapat malu besar apabila hanya segelintir dari mereka yang akan dapat menjamah makanan, kerana hanya sedikit makanan yang dapat disediakan.

Tetapi Isteri Jabir merasa cukup tenang apabila mendengar bahawa Nabi s.a.w. sendiri yang akan membahagi-bahagikan makanan itu.Dia berserah kepada Allah SWT dan terserah kepada Rasul-Nya membahagikan rezeki yang sedikit untuk sajian ribuan manusia.Nabi s.a.w. minta agar ahli Khandak masuk bergilir-gilir dan jangan berebut-rebut, kerana rezeki yang akan disajikan lebih dari mencukupi.Nabi s.a.w. mula membahagikan makanan setiap seorang dengan sepotong roti dan seketul daging sup kambing. Setiap kali Nabi s.a.w. mengoyak roti dan mengaut daging kambing dengan senduk dari periuk yang sama, makanan itu tetap berbaki meskipun telah dibahagikan kepada sejumlah besar manusia.Begitulah seterusnya Nabi s.a.w. mengoyakkan roti dan meletakkan seketul daging, sehingga semua tiga ribu orang dapat menikmatinya dengan masing-masing merasa sangat kenyang. Yang anihnya roti dan daging kambing di dalam periuk itu sentiasa ada dan tidak berkurangan.Setelah semua ahli Khandak selesai menikmati hidangan yang luar biasa itu, lalu Nabi s.a.w. menyerahkan semula baki roti dan sup kambing itu kepada Jabir dan keluarganya.Nabi mempersilakan Jabir dan isterinya makan, di samping menganjurkan supaya memberikan makanan itu kepada penduduk kampung, kerana tahun itu Madinah sedang menghadapi kekurangan makanan.Demi Allah, kata Jabir bukan saja tiga ribu ahli Khandak dapat menikmati makanan yang disediakan oleh isterinya, malah hampir seluruh penduduk Madinah yang datang kerumahnya pulang dalam keadaan kenyang. "ALLAHU AKBAR!"


No comments:

artikel berkaitan

Blog Widget by LinkWithin