Thursday, September 11, 2008

masih adakah ingatan yang menyapa...



Masihkah ada ingatan yang menyapa
melewati tirai jendela kamar hatimu
bermusim-musim kurasa semakin jauh
seharum aroma melati merentasi waktu-waktu lena cerita lama kita.
Masihkah ada ingatan yang membisik
menjernih linglung sukmamu
bermusim-musim namun tidak pernah hilang
ku dengar suara batuk ombak yang tenat pecah berderai di pantai
menyaksikan ranting-ranting mimpi
patah satu-satu.
Bukan mudah untuk melupakan sebuah kelukaan
bersusun dalam sanubari utuh terpateri
apatah lagi menghilangkannya
akan memacak rasa derita
masa silam kita menjadi kenangan berkaca.
Masihkah ada lagi ingatan yang menyapa
ah,
jika benar katamu
itulah pengalaman yang mengajar
agar tidak dilukai lagi.
IZAM ABDUL MANAFPulau Mutiara, 2007

PILIHAN WARNA SINGKAP PERSONALITI

WARNA menyimpan seribu makna yang secara tidak langsung menterjemahkan perasaan atau keinginan seseorang. Lebih bahaya, warna juga kononnya mampu mentafsir kelebihan dan kelemahan diri sama ada garang, lembut, pemurah atau periang.

Rona merah, misalnya lambang keghairahan dan berani. Mereka yang menggayakannya dikatakan memiliki personaliti tegas dan penuh keyakinan diri untuk menonjolkan kelebihan diri. Namun, awas merah juga lambang diri yang tamak dan pendendam.
Sekiranya anda ditimpa perasaan tidak menentu sehingga menjejaskan hubungan dengan ahli keluarga atau rakan sekerja, pilihlah warna ceria yang memberikan ketenangan seperti biru kerana ia bukan saja mampu menenangkan urat saraf yang tegang, tetapi turut meningkatkan kreativiti diri.
Apa yang penting, warna perlu digunakan dengan tepat kerana warna boleh memberi semangat serta kesenangan dalam setiap aspek kehidupan. Ia boleh bermula dari rumah hinggalah cara berhias dan pemilihan pakaian.
Apakah anda berani menggayakan warna beraneka dan terang? Terserah kepada anda untuk menyingkap siapa diri anda sebenarnya.


Mengenali warna dan sifatnya

Emas
Positif: Banyak ilmu dan gemarkan kejayaan. Memiliki kemampuan kuasa semula jadi yang besar, sabar dan bijaksana serta suka menolong.
Negatif: Gemar menyendiri dan bersikap terlalu tertutup.

Putih
Positif: Lebih mencerminkan sifat sabar, sopan santun, rendah diri, suka menolong dan gemar berjenaka serta mudah dipujuk apabila merajuk. Juga mempunyai fikiran yang bersih iaitu tidak banyak prasangka terhadap orang lain. Perasaan hati sentiasa tenteram dan hidup bertawakal.
Negatif: Boros berbelanja

Kuning
Positif: Berjiwa lembut atau halus dan sentiasa mendapat perhatian. Penuh kasih sayang dan berhemah serta sentiasa ceria. Positif dan sangat optimis serta memiliki senyum yang luar biasa dan tidak suka didesak. Sangat setia kepada pasangan.
Negatif: Sikap terlalu agresif mungkin membuat orang lain menjadi takut. Anda juga cengeng (sering menangis) dan mudah menyerah.

Merah
Positif: Bersikap berani, jujur, berdisiplin dan tegas. Sangat aktif dan disenangi serta bersikap terbuka. Anda juga senang menjadi pusat perhatian orang lain kerana kadangkala anda ingin mencuba segala-galanya. Suka tersenyum dan suka memberi atau menerima kasih sayang orang lain.
Negatif: Mempunyai perasaan pendendam yang tinggi, tamak dan mudah tersinggung.

Hijau
Positif : Rajin dan jujur bekerja di samping, tekun serta sabar melakukan sesuatu. Pencinta keharmonian dan kedamaian serta sentiasa dahagakan ilmu.
Negatif: Terlalu mudah percaya dan kadangkala pendirian yang teguh membuatkan anda seakan-akan kolot.

Merah jambu
Positif : Seorang yang tegas dan jujur. Anda juga suka membantu dan orang lain serta begitu teliti dalam semua perkara.
Negatif: Tidak suka dibantah dan suka mendesak bagi memenuhi kehendak.

Coklat
Positif: Jika anda seorang wanita anda kaya dengan sifat keibuan. Suka merendah diri dan halus budi pekerti. Anda juga gemar menambahkan ilmu di dada.
Negatif: Mudah dipujuk dan mempercayai orang. Cepat berasa was-was dan takut berbuat salah.

Perak
Positif: Mendengar kata dan pendengar yang baik dan disenangi orang lain.
Negatif: Mudah putus asa dan cepat merendah diri.


Ungu

Positif: Suka berjenaka dan rajin. Bersikap pemurah dan tidak suka diperintah.Mempunyai inisiatif yang keinginan yang tinggi dan meluap-luap.
Negatif: Sombong dan sedikit emosi.

Hitam
Positif: Prihatin, baik hati dan kuat menghadapi dugaan hidup. Tidak mudah dipengaruhi dan gemar berfikir serta setia pada pasangan.
Negatif: Suka menyendiri, prihatin, tetapi cepat tersinggung.

Kelabu
Positif: Mendengar kata dan suka merendah diri. Sentiasa tenang dan suka mengalah, serta mudah berkorban.
Negatif: Cengeng dan agak pemalas

Jingga
Positif: Ramah, jujur dan rajin bekerja serta bercita-cita tinggi.
Negatif: Cengeng dan cepat mengalah dengan tekanan.

Biru
Positif: Ada ketenangan atau kesejukan dalam diri anda dan juga menjadi warna kegemaran ramai. Cintakan kedamaian dan berharap dicintai ketika berada di mana-mana. Selain bertanggungjawab dan pandai menyimpan wang anda sering membuat orang lain berperasaan yang sama terhadap pandangan anda.
Negatif: Bersikap terlalu memaksa orang lain terhadap kehendak anda dan ada kala bersifat angkuh.

Oleh Halina Mohd Noor

Click here to get hot comments and graphics...

Tuesday, September 9, 2008

AL-Ayyubi,Quds merintih lagi

Subuh di Jerussalem hari itu sejuk amat . Embun yang menitis-nitis perlahan menerjah masuk ke celah-celah baju nya yang sudah agak koyak dan rabak . Dan itu , lantas mengejutkan dia dari lena . Dingin dan sunyi sekali hari itu . Matanya digosok dan perlahan-lahan dia bangun mencari air untuk berwudhu . Air yang bertakung di dalam geleng terbiar itu mencuri pandangan nya . “Syukur ya ALLAH . AlhamduliLLAH ” Tulus dia mengucap terima kasih tidak terhingga buat pencipta .

” Yazed ! Kakak mu di culik askar . Segera kamu pergi menyelamatkan nya ” Jerit ibu nya sebaik sahaja dia melangkah kaki ke gubuk buruk nya itu . Dia tergamam dan serba salah . Yazed yang ketika itu baru pulang dari mengambil upah mengangkat batu binaan di hujung Kota Quds itu terasa seperti jantungnya terhenti berdenyut melihat ibu nya yang sedang terselepak ke lantai dengan cairan merah kelihatan di dahi nya . Mendengar jeritan ibunya itu lebih membuatkan dia jadi lupa segala . Lalu segera dia berlari mencari kakak nya . “Semoga aku masih belum terlambat ya ALLAH” . Dia berharap sendiri .

Itulah permulaan bagi detik sengsara dalam hidupnya . Dia kehilangan kakak nya yang dicabul yahudi gila ! Tidak cukup dengan itu dia juga kehilangan ibunya sekembali dia ke gubuk tua itu . Bapanya juga telah meninggal jumaat yang lepas dibunuh yahudi berkepala botak yang tiba-tiba menerjah masuk rumah mereka . Mujur dia juga tidak disembelih ketika itu kerana si botak itu tiba-tiba tergesa-igesa lari keluar seperti dipanggil seseorang . Kini tinggal lah dia sendiri . Gubuknya juga telah ranap seranap hatinya . Lebih ranap apabila hari-harinya dipenuhi bunyi dentuman bom dan darah-darah manusia sepanjang langkahan kaki . Bukan di Jerusalem ini saja . Malah di segenap Bumi Palestin . Saudara nya di Yaafa , Ar-Ramla malah Akka yang terletak di utara Palestin itu pun hancur ! Perang Salib yang dulunya tercetus angkara aduan domba Paderi Patriach Ermite yang menjadi mimpi ngeri umat Islam selama ini seolah muncul kembali . Tragedi tahun 1099 itu seakan perlahan-lahan menjelma lagi . Ketika itu , semua penduduk MUSLIM di sembelih hidup -hidup . Tentera infanteri dan kaveleri lari tunggang langgang di antara para buruan . Di tengah huru-hara yang mengerikan itu yang terdengar hanya rintihan dan jeritan kematian. Orang-orang yang menang itu memijak-mijak tumpukan mayat ketika mereka lari mengejar orang yang cuba menyelamatkan diri dengan sia-sia . Padang, jalan-jalan, bahkan tempat-tempat yang tidak berpenghuni di Jerussalem ditaburi oleh mayat-mayat wanita dan lelaki, dan tubuh kanak-kanak yang koyak-koyak. Tidak ada hati yang lebur dalam keharuan atau yang tergerak untuk berbuat kebajikan melihat peristiwa mengerikan itu . Malah menurut Raymond d’Agiles, yang menyaksikan peristiwa itu dengan mata kepalanya sendiri mengatakan




“Di bawah serambi masjid yang melengkung itu, genangan darah dalamnya mencecah lutut dan mencapai tali kekang kuda.”


Lamunan nya tersentak . Takut .
“Ya ALLAH , janganlah engkau mengembalikan saat-saat getir itu kembali “. Yazed memohon sendiri .


Perlahan dia memejam mata nya membayangkan hidup nya yang akan terus ini . Akan muncul kah panglima sehebat Salahuddin Al-Ayyubi di akhir zaman ini . Atau mungkin dia kah yang perlu mencontohi panglima itu . Tapi “Siapakah aku? Hanya seorang Yazed Rahman yang fakir dan berumur hanya 18 tahun .” Tetapi Salahuddin Ayyub ketika berumur 16 tahun sudah pergi berjuang ! Malah di saat umurnya 25 tahun sudah di ajak bapa saudara nya Asasuddin Syirkuh untuk menundukkan puak Syi`ah Daulat Fatimiyah di Mesir .

Dia masih teringat bapa nya bercerita tentang pahlawan itu ketika mereka sedang asyik memancing kerapu di Sungai berdekatan Hebron di selatan Quds itu . Di saat panglima salib Count Rainald de Chatillon dan pasukannya bergerak setelah kalah dalam pertempuran untuk menyerang kota Suci Makkah dan Madinah di tangan mujahid ISLAM di Laut Merah , mereka menawan kafilah kaum Muslimin yang didalamnya terdapat seorang saudara perempuan Sultan Salahuddin .

“Apakah Muhammad, Nabi mereka itu mampu datang untuk menyelamatkan mereka?” Angkuh Count Rainald sambil terbahak menghina RasuluLLAH . Ketika itu , Sultan Salahuddin sendiri yang turun padang menggempur pasukan salib itu di Gunung Hittin sehingga perang itu dikenali sebagai Perang Hittin . Salahuddin ketika itu menang besar ! Tentera musuh seramai 45,000 orang itu hancur binasa ! Dan dengan gah Sultan Salahuddin membalas semula cabaran Count Rainald yang menghina RasuluLLAH itu .

“Nah, bagaimana jadinya yang telah nampak oleh engkau sekarang? Apakah saya tidak cukup menjadi pengganti Nabi Besar Muhammad untuk melakukan pembalasan terhadap berbagai penghinaan engkau itu?”

Hebat ! Yazed tersandar puas melayan perasaan nya . Tiadakah lagi Al-Ayyubi gagah itu buat membela nasib Quds yang buat ke sekian kali nya merintih lagi . Walau itu hanya harapan yang terlalu mimpi , hati kecilnya masih mengharap . Mengharapkan ada sinar baru muncul nanti suatu hari . Biar pun ketika itu dia terpaksa mengukir senyuman tanpa bapa , ibu dan kakak nya .

Langkah lemah nya di atur menyusuri lorong kecil berdebu . Melangkah dengan harapan masih ada esok untuk nya .

rabiatul adawiyah dan cinta (4)

Kelaparan ! Kelaparan bisa mengubah perangai manusia dari yang baik menjadi buruk , yang pemurah menjadi bakhil dan yang dermawan jadi individualistik . Dalam keadaan kemarau begini , Rabiah tiada pilihan lain selain terus menerus berusaha mencari kerja untuk mencari sesuap nasi buat keluarga nya .

Pada suatu hari , ketika Rabi’ah berjalan seorang diri di satu jalan di Kota Basrah , tiba-tiba seorang penculik menangkap nya dan menjual nya dengan harga 6 dirham . Tubuh Rabi’ah yang kurus menjadi bertambah kurus apabila diperlakukan sangat kasar oleh tuan nya . Makanan yang diberikan hanya sisa-sisa mereka dan pakaian nya pun hanya kain yang buruk dan compang camping .

Namun begitu , Rabiah tidak pernah berubah . Biarpun keadaan nya amat sukar , solat malam nya masih seperti biasa , zikir nya diucapkan setiap saat . Istighfar nya juga tidak pernah alpa . Musibah demi musibah , kesulitan demi kesulitan yang dihadapi beliau ternyata merupakan satu ujian yang mengangkat beliau ke satu darjat yang sangat tinggi dan mulia di sisi ALLAH .

Yang menjadi kebimbangan nya sekarang ini adalah bagaimana kah nasib 3 orang kakak nya . Kerisauan nya memuncak apabila memikirkan kalau mereka juga menjadi hamba seperti diri nya . Kesedihan yang melanda diri nya itu juga membawa dia bermunajat kepada ALLAH saban malam .


“Tuhan ku , aku ini seorang yatim yang terbiar , diseksa dan dihina . Diri ku kini dibelenggu perhambaan , hak dan kebebasanku telah dirampas . Akan kutanggung semua kesakitan , akan kusabarkan dan kutahankan . Tapi jika datang penderitaan yang kebih menyakitkan daripada yang sedang kualami , maka ia akan melukakan roh ku dan mengikis kesabaran yang masih tersisa di dadaku . Tuhan ku , adakah kebimbangan ku ini akan mengubah pandangan MU terhadap ku ? Adakah engkau masih menyukaiku? Keredaan MU adalah tujuan dan matlamat ku .”

Ucapan Rabi’ah itu mengingatkan kita kepada sabda RasuluLLAH s.a.w , yakni ketika beliau berdoa di tengah jalan menuju ke Taif . Orang-orang kafir melempari beliau dengan batu sehingga berdarah kedua-dua tumit beliau :


“Tuhan ku , selagi Engkau tidak murka pada diri ku , aku tidak peduli terhadap apa pun cubaan dan penderitaan . Walau bagaimanapun afiat Mu pasti lebih luas untuk ku . Aku berlindung dengan nur wajah-Mu yang menerangi 7 lapis langit yang menyinari kegelapan . Aku berlindung daripada kemurkaan dan kebencian-Mu . Engkaulah yang berhak memurkaiku,tidak ada daya dan kekuatan melainkan kekuatan Mu juga . “

Jelaslah bahawa para wali ALLAH juga RasuluLLAH adalah mereka yang mempunyai tahap kecintaan pada ALLAH yang sukar digambarkan . Terlalu tinggi dan hebat .

****

Suatu hari Rabi’ah keluar untuk membeli barang keperluan di pasar berdekatan . Tanpa disedari nya , ada lelaki yang cuba memata-matai pergerakan nya . Menyaksikan tingkah laku lelaki itu , timbul firasat yang tidak baik dalam hati Rabi’ah . Rabi’ah berusaha melarikan diri dengan berjalan cepat-cepat . Tetapi lelaki tadi terus mengekori nya .

glitter-graphics.com

artikel berkaitan

Blog Widget by LinkWithin