Monday, October 6, 2008

jodoh bermadu di usia muda



Jodoh bermadu di usia muda

Oleh Mohd Rafi Mamatam@hmetro.com.my
KUANTAN: “Saya reda dan menerima ketentuan Allah mendapat jodoh dalam usia muda walaupun sebagai isteri kedua,” kata Siti Aminah Zainuddin, 19, anggota kumpulan nasyid Mawaddah, semalam.
Menurutnya, dia bersyukur apabila dipertemukan jodoh dengan Shamsul Amir Shahbudin, 38, seorang ahli perniagaan kerana dia bukan saja seorang lelaki baik, tetapi bertanggungjawab serta mentaati suruhan Allah.
“Madu saya, Masitah Abdullah, 36, dapat menerima saya dengan hati terbuka, malah menganggap saya sebagai adiknya apabila dapat tinggal dalam satu rumah.
“Bagi saya poligami itu indah dan berupaya memberi pahala besar jika seseorang wanita itu memahaminya,” katanya yang kini tinggal di Temerloh.

Siti Aminah ditemui pada majlis perkahwinan secara beramai-ramai di Dewan Mat Kilau di sini, semalam.Seramai lapan pasangan terdiri daripada kakitangan Global Ikhwan Sdn Bhd diraikan pada majlis bermakna itu.
Majlis anjuran syarikat berkenaan itu sebagai menyahut seruan kerajaan untuk berjimat-cermat.Bagi Masitah, perkahwinan kedua suaminya adalah hadiah bermakna sempena hari jadinya ke-38.
“Tiada hadiah lebih istimewa dan berharga kecuali membenarkan suami mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan wanita pilihannya.
“Saya kenal dengan madu saya, dia seorang wanita baik dan berhati mulia,” katanya yang mempunyai lapan anak.Menurutnya, dia gembira dan terharu apabila dapat menyaksikan majlis persandingan mereka berdua.
Shamsul Amir pula berkata, perkahwinan keduanya itu dianggap fitrah dan kejayaan perjuangannya terhadap poligami yang sukar diterima kebanyakan wanita.Dia mahu membuktikan madu yang dianggap racun oleh kebanyakan wanita sebenarnya indah selain memberikan pahala besar kepada mereka.
“Kedua-dua isteri saya mempunyai hubungan yang baik…mereka bukan saja boleh bekerja bersama, tetapi turut tinggal serumah,” katanya.

comment from

Tidak disangka ada perempuan Islam di Malaysia sanggup berbuat begini di zaman ini. Di zaman wanita-wanita tak kira Islam atau bukan Islam sedang memperjuangkan habis-habisan supaya pensyariatan poligami diperketatkan supaya lebih susah hendak dipraktikkan di dalam masyarakat. Kononnya untuk menjaga hak asasi wanita Islam. Siapakah yang membenarkan pensyariatan poligami ini di dalam Islam? Islam mensyariatkan sesuatu perkara hanyalah untuk kepentingan manusia sejagat. Allah itu Maha Adil dan Maha Bijaksana di dalam menetapkan sesuatu syariat.
Masalah ketidakfahaman pensyariatan poligami ini bukan sahaja oleh orang-orang lelaki maupun wanita yang jahil tentang agama tetapi terdapat juga di kalangan yang bergelar cerdik pandai. Mereka, cerdik pandai, cuba mencari kelemahan-kelemahan, kesalahan-kesalahan dan kepincangan-kepincangan poligami ini untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka adalah cerdik pandai yang bukan sahaja bijak di dalam menafsirkan sesuatu syariat dalam Islam bahkan berjaya mencipta formula baru bagi menggantikan syariat poligami ini. Sedarkah mereka yang kesalahan siapakah yang hendak dicari, kepincangan sistem siapakah yang hendak dikaji. Astaghfirullah.
Penulis berpendapat puak-puak orientalis dan misionari sekarang ini bertepuk tangan dan berpeluk tubuh kerana kerja-kerja mereka untuk menghapuskan syariat poligami semakin hari semakin dekat dengan kejayaan. Mereka cuma bergelak ketawa dan menari keriangan meraikan kejayaan mereka menyakinkan segelintir ummat Islam untuk menjauhkan syariat poligami. Astaghfirullah.
Dengan kejayaan orientalis dan misionari ini menyakinkan ummat Islam menolak poligami, maka suburlah penzinaan, pelacuran, homoseksual, lesbian di kalangan orang-orang yang jahil di kalangan ummat Islam. Nafsu syahwat disalurkan kepada jalan yang haram kerana yang halal telah disusahkan pelaksanaannya.
Penulis menyarankan supaya pensyariatan poligami ini dilaksanakan secara adil bukan sahaja di kalangan orang yang bergelar kaya harta tetapi bagi semua yang berpendapatan sederhana yang masih mampu hidup di dalam keadaan sederhana (bukan mewah). Pokoknya berlaku adil kepada isteri-isteri.
Banyak masalah sosial akan selesai seperti wanita-wanita yang lanjut usia akan mengecapi alam perkahwinan dan alam keibuan, janda-janda akan terbela nasib mereka, di mana inilah yang dipanggil penjagaan hak-hak wanita. Itulah keadilan di dalam Islam dan bagaimana Islam mencari penyelesaiaan di dalam isu-isu sosial. Itulah kebijaksanaan Allah di dalam mengurus dan mengatur kehidupan hamba-hambaNya.

No comments:

artikel berkaitan

Blog Widget by LinkWithin